×

Participant

Organiser

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera,

Terima kasih kepada semua yang telah meluangkan masa untuk menghadiri Sesi Sidang Media Program Penang Fellowship Ride – Bridge to Bridge 2024 yang akan berlangsung tidak lama lagi. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada agensi kerajaan dan swasta, penaja, para media, serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara kayuhan berbasikal ini.

Acara kayuhan berbasikal "Penang Fellowship Ride – Bridge to Bridge 2024" adalah inisiatif daripada Kerajaan Negeri dan Kelab Berbasikal G Pulau Pinang yang bertujuan memupuk semangat perpaduan dan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat. Kami ingin mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyertai aktiviti berbasikal yang bukan sahaja menyihatkan badan, tetapi juga mengeratkan hubungan sesama kita. Melalui program seperti ini, kita dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk keluar dari rumah dan menikmati keindahan negeri kita sambil beriadah. Program ini berpotensi menjadi sumber inspirasi bagi seluruh warga negeri untuk terus bergiat aktif dalam pelbagai bidang sukan, selaras dengan hasrat dan matlamat Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Dengan bangganya, saya ingin mengumumkan bahawa Program Kayuhan Berbasikal Penang Fellowship Ride – Bridge to Bridge 2024 akan berlangsung pada 28 Julai 2024 (Ahad) bertempat di Tapak Pesta Sungai Nibong, Bayan Lepas. Jarak keseluruhan kayuhan ini adalah kira-kira 68 km, melibatkan Jambatan Pertama Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang. Acara pelepasan akan bermula pada jam 7.00 pagi dan dijangka tamat pada jam 12.30 tengah hari. Makluman penutupan jalan akan dibuat secara rasmi oleh pihak PDRM dan agensi berkaitan.

Untuk makluman, seramai 2,343 peserta telah mendaftar dan akan mengambil bahagian dalam acara kayuhan berbasikal ini. Penyertaan kali ini melibatkan peserta dari seluruh Malaysia dan negara-negara lain seperti Singapura, Jepun, Perancis, Sweden, Filipina, Indonesia, Vietnam, Portugal, Australia, dan China. Penganjuran program ini telah memberi impak besar dalam membantu meningkatkan dan menjana ekonomi negeri dengan kemasukan peserta dari dalam dan luar negara ke negeri Pulau Pinang. Saya berharap acara kayuhan ini akan menjadi acara tahunan dan dimasukkan ke dalam kalendar sukan negeri Pulau Pinang.

Saya ingin memberi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kelab Berbasikal G Pulau Pinang dan juga penaja utama Paramount Property, Jabatan Kewangan Negeri (JKNPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKDB), PDRM, dan agensi-agensi lain yang berkaitan. Acara ini tidak akan berjaya tanpa bantuan dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Untuk makluman para media, program ini diadakan seiring dengan sambutan ulang tahun ke-75 Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak, Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Tuan Yang Terutama akan turut serta dalam kayuhan ini. Pada edisi sebelum ini, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak telah berjaya menamatkan kayuhan dan menempa sejarah baru apabila menerima sijil pengiktirafan "Malaysia Book of Records" selepas menjadi Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang pertama berbasikal merentasi kedua-dua jambatan Pulau Pinang berturut-turut. TYT Tun telah berjaya mengayuh basikal sepanjang 66km dengan catatan masa 4:32:18.

Sebagai makluman, kayuhan ini akan bermula dan tamat di Tapak Pesta Sungai Nibong dan melalui Jambatan Pertama Pulau Pinang, Jalan Perindustrian Perai, Juru, Batu Kawan, dan melingkari Jambatan Kedua Pulau Pinang. Beberapa jalan akan ditutup secara berperingkat bagi menjayakan kayuhan ini.

Para peserta kayuhan akan berhenti berehat di Kolej Universiti UOW KDU, Batu Kawan, setelah menempuh jarak kira-kira 34 km sebelum meneruskan kayuhan menaiki jambatan terpanjang di Malaysia dan Asia Tenggara. Penutupan Jambatan Pertama akan bermula pada jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi (Dari Pulau ke Butterworth), dan penutupan Jambatan Kedua akan bermula pada jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari (Dari Batu Kawan ke Pulau). Semua peserta diwajibkan memakai jersi khas yang diberikan untuk menyertai kayuhan ini. Sesi saringan peserta kayuhan akan dilakukan bagi mengelakkan penglibatan penunggang hantu atau “ghost rider”. Para peserta diingatkan untuk membuat persiapan rapi kerana kayuhan ini amat menguji dari segi mental dan fizikal, lebih-lebih lagi semasa di atas kedua-dua jambatan dengan "headwind" yang kuat.

Selain daripada acara utama, sesi cabutan bertuah juga akan diadakan semasa majlis penutupan di Tapak Pesta Sungai Nibong. Setakat ini, kami telah menerima tiga basikal berkualiti tinggi yang akan menjadi hadiah utama cabutan bertuah yang ditaja oleh SLM, pengedar sah bagi basikal Trek. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan menghargai sokongan dari Paramount Property yang merupakan penaja utama bagi "Penang Fellowship Ride – Bridge to Bridge 2024".

Sebelum mengakhiri sidang media ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran hebat ini. Kepada para peserta, jumpa anda semua pada 28 Julai 2024. Saya ingin mengingatkan bahawa "Penang Fellowship Ride" adalah acara berbasikal rekreasi santai, dan saya berharap semua peserta akan menikmati kayuhan dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

Sekian, terima kasih.